Wednesday, October 27, 2010

Sharing is a good way to help each others

GPS : Teknologi Penting Masa Kini




Secara global sistem yang digunakan untuk menentukan sesuatu tempat


dikenali sebagai Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS). Sistem ini baru

sahaja diperkenalkan pada abad ke 21. Ia mula diperkenalkan dengan

kewujudan sistem navigasi yang dibina di beberapa negara di dunia. Walaupun

beberapa sistem navigasi telah siap dan ada juga yang masih dalam

pembinaan, satu-satunya sistem GNSS yang berfungsi sepenuhnya di dunia

ialah Sistem Penentududukan Global (GPS). GPS diperkenalkan oleh jabatan

pertahanan Amerika. Ia juga dikenali dengan nama rasminya NAVSTAR-GPS.



Secara nominal, GPS terdiri daripada 24 satelit yang dilancarkan secara

berperingkat bermula dari tahun 1978. GPS hanya beroperasi sepenuhnya pada

tahun 1995. Sehingga kini ia mempunyai lebih 30 satelit di angkasa. Pada

awalnya GPS dibina untuk tujuan ketenteraan tetapi selepas tahun 1983, ia

dibuka unutk kegunaan awam. Ia hanya berlaku selepas kapalterbang Korea

yang membawa penumpang awam telah ditembak oleh Kesatuan Soviet (sekarang

telah terpecah kepada negara Russia dan lain-lain). Kapal terbang tersebut

tanpa disedari telah tersasar memasuki ruang angkasa negara mereka ( ketika

Amerika menghadapi Perang Dingin dengan Soviet)



Satelit GPS



Satelit-satelit GPS mengorbit bumi pada ketinggian 20000 kilometer dengan

sudut dongak sebanyak 55 darjah dari satah Khatulistiwa dan mencatatkan

tempoh selama 12 jam untuk satu pusingan orbit lengkap. Ini bermakna dalam

satu hari, satelit yang sama mengorbit bumi sebanyak dua kali. Dengan kata

lain, secara umumnya kita boleh melihat satelit yang sama di angkasa

sebanyak dua kali sehari. Terdapat enam gugusan satelit yang mengorbit

bumi, yang setiap satunya mempunyai empat satelit. Setiap satelit dibina

dengan jangkahayat di angkasa selama lebih 10 tahun. Satelit ini mendapat

bekalan tenaga elektrik dari panel suria yang dipasang pada badan atau

sayap satelit. Satelit yang baharu akan dilancarkan ke orbit dari semasa ke

semasa bagi menggantikan satelit yang lama. GPS beroperasi di bawah kawalan

Department of Defence (DoD) yang mempunyai pusat kawalan di Amerika

Syarikat. Satelit ini menghantar isyarat kepada pengguna untuk menentukan

kedudukan dan masa di mana-mana sahaja mereka berada. Isyarat juga boleh

diterima dalam apa jua keadaan cuaca tanpa batasan kecuali isyarat tersebut

dimatikan oleh kerajaan Amerika.







Gambar : Satelit GPS



Apakah isyarat yang digunakan



Satelit GPS merupakan satu sistem komunikasi satu hala bagi menghantar

isyarat radio untuk kegunaan tentera dan orang awam. Sebaliknya pengguna

tidak boleh menghantar isyarat ke satelit tersebut untuk berkomunikasi.

Isyarat radio yang digunakan adalah dalam julat jalur UHF (ultra high

frequency). Isyarat radio ini bertindak sebagai pembawa kepada isyarat

maklumat yang akan diterima oleh alat penerima isyarat GPS yang dimiliki

oleh pengguna. Isyarat maklumat yang dihantar adalah dalam bentuk digit. Ia

terdiri dari kod rawak semu (pseudorandom code), data efermeris dan data

almanak. Kod rawak semu ini merupakan identifikasi bagi satelit yang

menghantar isyarat tersebut.



Data efemeris pula akan menyatakan kedudukan satelit berkenaan di orbit dan

juga kedudukan satelit yang lainnya. Data almanak menyatakan status satelit

(sihat atau tidak), memberikan maklumat tarikh dan masa. Ia juga memberikan

data yang penting untuk menentukan kedudukan pengguna. Pengguna awam boleh

menerima isyarat ini secara percuma dengan syarat kita mempunyai alat

penerima GPS. Walaubagaimanapun alat penerima ini perlu dibeli dengan

pelbagai harga mengikut kegunaan tertentu. Isyarat yang diterima oleh orang

awam ini terlebih dahulu telah disulitkan oleh kerajaan Amerika dan

tidaklah sejitu seperti isyarat yang digunakan oleh tentera Amerika dan

sekutunya.Hal ini demikian kerana tujuan utama GPS adalah untuk

ketenteraan. Walaubagaimanapun dengan kaedah pemprosesan isyarat yang

tertentu dan terkini, kejituan yang baik boleh dihasilkan oleh pengguna

awam.



Terdapat beberapa faktor yang boleh mengganggu kejituan GPS. Isyarat GPS

perlu merambat/bergerak melalui atmosfera seperti lapisan ionosfera dan

troposfera menuju ke bumi. Keadaan semulajadi lapisan ini akan melambatkan

isyarat tersebut untuk sampai ke bumi.Perisian dan kiraan tertentu boleh

digunakan untuk mengurangkan kesan lambatan ini. Isyarat GPS hanya boleh

diterima di kawasan lapang dan bukan di dalam bangunan.



Isyarat yang diterima juga boleh terhalang oleh objek-objek seperti pokok,

bangunan, bukit dan sebagainya. Isyarat yang terpantul oleh halangan ini

ada juga yang boleh dikesan oleh alat penerima GPS tetapi agak lemah.

Kesan gangguan ini dikenali sebagai berbilang laluan (multipath). Ala

penerima GPS yang biasanya menggunakan jam kuartza kurang jitu untuk

segerak dengan isyarat GPS kerana jam GPS terdiri daripada jam atom.

Gangguan ini dikenali sebagai ralat jam. Antara gangguan lain termasuklah

ralat satelit, ralat alat penerima dan ralat dalam isyarat.



Kegunaan



Kebanyakan kita menggunakan GPS secara komersil untuk menentukan lokasi

sesuatu tempat. Terdapat pelbagai jenis alat penerima isyarat satelit gps

di pasaran untuk tujuan ini. Jenis yang popular digunakan untuk tujuan

komersial antaranya termasuklah Garmin, Navman dan TomTom. Alat penerima

ini boleh memberikan ketepatan kedudukan dalam lingkungan 10 meter dari

kedudukan sebenar. Dengan gabungan peta digital dan GPS, pengguna boleh

melihat kedudukan mereka pada peta tersebut sama ada dalam kedudukan statik

ataupun bergerak. Kini perisian ini boleh didapati dalam telefon mudah alih

seperti Nokia, Iphone, Blackberry dan juga alat Pembantu Digital Peribadi

(Personal Digital Assistant, PDA) jenis hTC.



Persatuan Automobil Malaysia ( Automobile Assosiation of Malaysia, AAM)

menggalakkan ahli-ahlinya memasang penjejak pintar (AAM smart tracker)

untuk menjejak kenderaan yang dicuri. Penjejak pintar ini menggunakan GPS

untuk mengesan lokasi kenderaan tersebut. Memandangkan banyaknya berlaku

kemalangan jalanraya berpunca daripada bas yang dalam perjalanan jauh, maka

kerajaan telah menyarankan agar pengusaha bas melengkapkan kenderaan

penumpang tersebut dengan alat penerima GPS. Dengan itu pengusaha bas boleh

memantau kelajuan bas yang dipandu serta kedudukan bas juga boleh

diketahui. Satu ketika dahulu teksi di KLIA juga dilengkapkan dengan sistem

GPS. Di Indonesia, teksi kepunyaan syarikat Blue Bird, misalnya

dilengkapkan dengan sistem ini. Kenderaan mewah seperti BMW dan Mercedes

juga telah siap dipasang dengan GPS.



Kanak-kanak boleh menggunakan jam tangan yang dilengkapi dengan alat

penerima GPS seperti jenis Wherify. Dengan itu ibubapa atau penjaga boleh

menjejak lokasi anak mereka sekiranya mereka sesat atau hilang. Untuk

tujuan pemetaan dan ukur yang memerlukan bacaan yang lebih jitu dengan

ketepatan kurang dari satu meter, alat penerima yang jauh lebih mahal

digunakan seperti Trimble, Leica, Navtech dan sebagainya. Contohnya Jabatan

Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menggunakan alat penerima jenis Trimble

untuk menentukan kedudukan untuk membina peta. Dalam ketenteraan, kedudukan

yang jitu sangat diperlukan untuk pelancaran peluru berpandu bagi

memastikan ia tidak tersasar ke tempat lain yang boleh membahayakan orang

awam.



Rusia merupakan pemaju yang kedua penting dengan sistemnya yang diberi nama

Sistem Navigasi Orbit Global (Globalnaya Navigagatsionnaya Sputnikovaya

Systema, GLONASS). Mereka telah mula beroperasi sejak tahun 1976. mereka

juga telah melancarkan satelit ini untuk tujuan ketenteraan dan boleh

digunakan oleh orang awam. Walaupun ia memberikan kejituan lebih baik

daripada GPS tetapi isyarat yang dihantar agak tidak konsisten dan tidak

dipantau dengan baik.



Baru-baru ini China juga telah melancarkan satelit navigasinya yang

dikenali sebagai Beidou (Big Dipper). Menyedari kepentingan satelit

navigasi ini dan untuk mengelakkan kebergantungan kepada satelit Amerika

Syarikat, Kesatuan Eropah telah mula melancarkan satelit navigasi mereka

iaitu Galileo. Sistem satelit ini dibina dan dikendalikan oleh orang awam.

India juga akan melancarkan satelitnya yang dikenali sebagi Sistem Satelit

Navigasi Wilayah India ( Indian Regional Navigational Satellite System,

IRNSS). Di samping itu GPS pula sekarang ini dalam fasa pemodenan untuk

menambahbaik lagi perkhidmatan mereka untuk ketenteraan dan juga orang awam
 
Oleh: Prof. Madya Ir. Dr. Mardina Abdullah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...