Thursday, February 24, 2011

Kebaikkan Mendirikan Solat

Kajian yang dijalankan mendapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang
kepada otak manusia manakala menunaikan solat dengan sempurna dan tertib
amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental serta emosi seseorang.

Kewajipan bersolat lima kali sehari semalam ke atas semua umat Islam
bermula sejak Rasulullah diangkat ke langit semasa peristiwa Israk dan
Mikraj pada malam 27 Rejab.
Ibadah solat begitu istimewa sekali sehingga Rasulullah SAW diangkat naik
ke langit bagi menerima Rukun Islam yang kedua ini, tidak seperti
ibadah-ibadah lain.
Keistimewaan solat menarik minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya
(UM) selepas menerima cabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau
menjadi perdana menteri.
Cetusan berkenaan timbul memandangkan masih belum terdapat kajian yang
komprehensif mengenai solat dari segi saintifik.

Kajian solat yang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan,
Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya Dr.
Fatimah Ibrahim serta Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok
menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut Dr. Fatimah, kajian yang dijalankan masa ini masih di peringkat
asas dan bertujuan mengkaji kesan ke atas perkara seperti komposisi tubuh
serta kandungan kolestrol dalam badan.

Sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat,
kekuatan otot-otot tubuh badan manusia, sakit pinggang bagi orang dewasa
serta kesihatan lelaki dan tenaga batin.
"Komposisi tubuh badan manusia meliputi parameter bioimpedance, kuantiti
air intra selular dan ekstra selular, jisim sel badan, kadar lemak dan
kolestrol dalam darah.
"Pengukuran parameter ini amat penting dalam menentukan tahap metabolisme,
kecergasan dan kesihatan seseorang individu," katanya yang menjalankan
kajian mengenai komposisi badan.
Kajian komposisi badan terbahagi kepada dua iaitu kebaikan solat zohor dan
solat tarawikh terhadap komposisi badan.

Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri
tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang boleh diumpamakan
sebagai senaman ringan.
"Kami menjalankan kajian komposisi badan semasa seseorang bersolat Zohor
secara jemaah dengan 47 orang peserta berusia 18 hingga 28 tahun," katanya.

Pengukuran analisis bioimpedans (BIA) (kaedah yang digunakan untuk
mengukur komposisi badan) diambil sebelum dan selepas solat Zohor secara
berjemaah.

Bagaimanapun lima tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi amalan
solat yang sempurna, tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat secara
berjemaah atau sendirian, kedudukan tulang belakang semasa rukuk dan
keadaan jari kaki semasa sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir.

Dr. Fatimah berkata, keputusan menunjukkan mereka yang mengamalkan solat
yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka
yang tidak melakukannya dengan sempurna.

Kajian berkenaan kata Dr. Fatimah menunjukkan solat lima kali sehari
semalam selain ibadah dapat mengurangkan lemak dalam badan.

"Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru meningkat,
memenuhi ruang, melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu," katanya.

Tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk
melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam
badan lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang.

Manakala sistem jantung dan kardiovaskular amat penting bagi kesihatan
manusia dan dipengaruhi oleh kekenyalan arteri.

Jika kekenyalan arteri terutama di bahagian jantung berkurangan, ia boleh
menyebabkan berlaku penyakit arterioskerosis koronari.

Pengekalan kekenyalan arteri amat penting dalam memelihara sistem
kardiovaskular yang sihat.

Ibadat solat, kata Dr. Fatimah, bukan saja melibatkan bacaan surah
al-Quran tetapi juga pergerakan anggota badan seperti berdiri, rukuk, sujud
dan duduk tahiyat.
"Kajian menunjukkan kedudukan seperti rukuk, sujud dan duduk membantu
memberikan keadaan rehat kepada jantung.



Sujud
"Malah kita digalakkan memanjangkan tempoh posisi sujud kerana kedudukan
ini menghasilkan kadar denyutan jantung paling rendah," katanya.

Ng Siew Chok yang menjalankan kajian otak dalam solat berkata, setiap
pergerakan manusia menghasilkan corak gelombang otak yang tertentu dan unik.

Gelombang otak yang dihasilkan ketika pergerakan meliputi gelombang alfa,
beta dan gamma.

Kajian akan dilakukan ke atas gelombang otak yang dihasilkan ketika
bersolat pada setiap posisi seperti rukuk, sujud, iktidal dan duduk semasa
tahiyat.

"Solat jelas secara umumnya melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat
suci al-Quran, doa-doa serta pergerakan yang didapati menyamai meditasi.

"Semasa solat, berhenti seketika sebelum bertukar posisi atau tamakninah
boleh dikatakan seseorang berada dalam ketenangan," katanya.

Dalam kajian ini isyarat otak subjek Muslim yang bersolat direkod dan
dianalisis, di mana dua kajian saintifik dilakukan iaitu perubahan isyarat
otak semasa tamakninah dan kesan solat kepada isyarat otak.

Hasilnya, kata Siew Cheok, didapati ibadat solat menghasilkan keadaan
tenang kepada otak manusia dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan
tahap kestabilan mental dan emosi seseorang.

Kajian juga menunjukkan ibadat solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya
ingatan.

Maka solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi
tugas-tugas yang lebih mencabar.

"Dan biasanya selepas melakukan solat, seseorang akan menjadi lebih
berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan," katanya.

Pergerakan solat meliputi berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk melibatkan
pergerakan seluruh otot tubuh badan.

Pergerakan otot-otot secara isotonik dan isometrik meningkatkan fungsi dan
kekuatan otot dan kajian yang dilakukan merangkumi otot utama yang penting
kepada kesihatan manusia.




Pergerakan Relatif

Ibadah solat kata Prof. Wan Abu Bakar melibatkan banyak pergerakan relatif
antara sendi selain postur tertentu semasa solat juga meletakkan otot pada
kedudukan mengecut, santai atau mengembang.

"Selain ibadah, solat boleh dianggap sebagai senaman fizikal yang
sederhana yang melibatkan pergerakan badan seperti berdiri, tunduk, duduk
dan sujud.

"Sakit pinggang merupakan masalah yang biasa berlaku bagi golongan dewasa
dan mereka yang bekerja," katanya yang menjalankan kajian otot dalam solat.

Terapi senaman melalui pergerakan solat yang betul dapat mengembalikan
keupayaan kelenturan badan, mengekalkan postur badan yang ideal dan
membantu mengurangkan sakit pinggang.

Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat terutama rukuk dan sujud didapati
menyamai beberapa pergerakan senaman stabilisasi dan regangan belakang.

"Pergerakan rukuk hampir sama dengan senaman selamat pagi yang bukan saja
dapat membantu regangan otot pada bahagian paha tetapi juga melatih
koordinasi otot belakang kaki," katanya yang juga menjalankan kajian
mengenai solat dan sakit pinggang.

Kajian yang dijalankan merumuskan pergerakan dalam solat dapat memberikan
kebaikan dalam memulihkan dan membantu mengembalikan kenormalan fungsi
aktiviti otot erektor spina terutama bagi mereka yang mengalami sakit
pinggang.

Justeru, jelas beliau pergerakan rukuk semasa solat boleh digunakan
sebagai terapi untuk merawat sakit pinggang.

 Selain itu, pergerakan fizikal atau senaman sederhana secara berterusan
dapat mencergaskan sistem andrologi dan meningkatkan kekuatan tenaga batin
lelaki.

Solat fardu yang dilakukan lima kali sehari di samping solat sunat serta
sunat tahajud sebagai pelengkap ibadah merupakan satu terapi yang
memberikan kesan positif ke atas sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin
lelaki.

 Kajian yang dijalankan menunjukkan senaman pengaktifan otot lantai pelvik
oleh penyelidik Van Kampen membuktikan senaman dapat melancarkan pengaliran
darah dan mengurangkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk.

 "Bagaimanapun banyak lagi kajian lanjut yang sedang dijalankan bagi
mengkaji lebih lanjut mengenai solat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...