Showing posts with label Tarawih. Show all posts
Showing posts with label Tarawih. Show all posts

Tuesday, July 24, 2012

Solat Sunat Witir






Solat Sunat Witir merupakan solat terakhir yang perlu dilakukan oleh seseorang pada setiap hari. Jumlah rakaat bagi witir ialah ganjil sebab itulah ia dinamakan witir (ganjil). Paling sedikit 1 rakaat dan yang paling banyak 11 rakaat. Waktu untuk mengerjakan solat ini ialah selepas solat isyak sehingga terbit fajar.

DALIL
Hadis yang diriwayatkan dari Aisyah, yang bermaksud :
"Adalah Nabi s.a.w solat di antara solat Isyak dengan terbit fajar sebelas rakaat, Baginda memberi salam tiap-tiap dua rakaat dan yang penghabisannya satu rakaat"
Mafhumnya bahawasanya Rasulullah s.a.w mengerjakan solat witir (sekiranya 11 rakaat) maka bilangan salamnya ialah 6 salam.

NIAT
أُصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ/ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya : Sahaja aku solat sunat witir 2 rakaat / 1 rakaat kerana Allah Taala.




Hukum melakukan solat witir adalah sunat muakkad. Disini telah berlaku khilaf dikalangan ulama. Ini merupakan perbahasan dan pandangan ulama didalam hal melakukan solat sunat Witir sebagai penutup malam.



Pandangan boleh melakukan solat sunat lain tanpa mengulangi witirnya
1) Jika seseorang telah melakukan solat witir dan kemudian dia ingin mengerjakan solat-solat sunat yang lain, maka dia boleh terus sahaja mengerjakan solat-solat tersebut dan tidak perlu mengulangi witirnya. Antara sandaran pendapat ini ialah:

عن أم سلمة أنه صلي الله عليه وسلم كان يركع ركعتين بعد الوتر وهو جالس
(رواه أحمد وأبو داود والترمذي وغيرهم)
Maksudnya: Daripada Ummu Salamah r.a, "Bahawa nabi saw pernah mengerjakan dua rakaat lagi sesudah witir dalam keadaan duduk. (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dll)

Daripada hadis di atas jelas menunjukan boleh melakukan ibadat solat bagi mereka yang telah melakukan solat witir. Dia tidak perlu mengulangi solat witirnya berdasar hadis di bawah.

عن علي أنه قال: سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول: لا وتران في ليلة
(رواه أبو داود والنسائ والترمذي وحسنه)
Maksudnya: Daripada Ali r.a bahawa dia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Tiada dua witir dalam satu malam". (riwayat Abu Daud, An-Nasaai, Tirmizi dan dia menganggapnya sebagai Hasan).

Pandangan perlu digenapkan witir
2) Pandangan yang kedua pula ialah dia perlu terlebih dahulu menggenapkan witir yang awal dan selepas itu barulah dia mengerjakan solat-solat sunat yang ingin dilakukan. Akhirnya dia menutup solatnya dengan witir yang baru. Antara sandaran kepada pendapat ini ialah hadis berikut:

Daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah telah bersabda: "Jadikanlah witir sebagai akhir sembahyangmu di malam hari". (riwayat Jamaah kecuali Ibnu Majah)



Setiap pandangan telah diusulkan bersama hadith yang sohih, jadi tidak menjadi masalah untuk kita mengikut mana-mana pendapat dalam keadaan kita mengetahui hujah dan dalil yang disandarkan oleh para ulama. Petikan dan penjelasan ini saya petik dari laman Majlis Ulama ISMA dan artikel tersebut disediakan oleh Ustaz Ahmad Zainal Abidin. Untuk penjelasan lanjut sila ke laman tertera.

Solat Tarawih




Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini.“

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.
3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.
6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.
7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.
8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.
14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.
15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas
Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas
Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas
Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).
19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh
Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.
22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.
23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.
24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat
Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima
Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.
26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan
Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.
29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh
Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...